Online Diary bila cik butang berbicara...: 2013

Bila Cik Butang berbicara...

Bila Cik Butang berbicara...

Thursday 15 August 2013

Bacelor Pengajian Pengguna_part II

Jari dah lama tak 'menari' di atas papan kekunci (keyboard) lappy. Hari ni tiba-tiba tergerak hati nak bercerita. Alkisah ni kiranya sambungan daripada entri "Bacelor Pengajian Pengguna" yang lepas. Sekarang dah di bulan Ogos 2013. Bukan sebab seminggu kita dah couple tapi sebab tak sampai 1 bulan lagi generasi-generasi baru masuk IPTA/IPTS. Kiranya, para junior lah maksudnya. So, Bacelor Pengajian Pengguna juga akan menerima penuntut-penuntut baru. Tahniah buat adik-adik. Mesti gusar dan bimbang "dup dap dup dap" jantung kan. Ada juga yang mungkin kata, "Arghh..apa barang Bacelor Pengajian Pengguna? Course budak yang tak berapa nak pandai tu?" Dik, akak dulu pun fikir macam adik. Cehh~bahasakan diri akak terus. Ya, aku masa dapat kos ni pun aku fikir camtu dulu. Tapi bila dah study kos ni aku dah faham pentingnya kos ini bagi kita semua sebenarnya. Yang mana kita tidak akan dapat dalam mana-mana kos.

Bacelor Pengajian Pengguna (BPG) memang pada asasnya berpegang pada pengguna. Pengguna adalah tiang utama berdirinya BPG ini. Kenapa ada BPG? Sebab ada pengguna. Ok, enuf! Ni nak cerita kat adik-adik yang nak ambil kos ni banyak benda kita akan belajar di sini. Apa yang kita belajar all-rounders. Asalkan benda tu berkaitan dengan pengguna. Kita akan belajar pasal gelagat pengguna dalam proses sebelum pembelian, semasa pembelian, dan selepas pembelian. Bagaimana mereka membuat keputusan dalam membeli barang, apa yang mempengaruhi keputusan mereka dan sebagainya. Selain daripada itu, kita juga akan belajar tentang ekonomi. Ya ekonomi! Ekonomi diri sendiri asasnya, ekonomi keluarga, ekonomi perusahaan, ekonomi negara dan ekonomi global. Bagaimana kita menggunakan sumber kita yang terhad, yang tak banyak (wang) untuk memenuhi keperluan dan kehendak kita. Apa lagi eh? Haaa...isu pengguna. Kita juga akan belajar tentang isu pengguna. Apa yang terjadi dengan pengguna akhir-akhir ini, cara kita berdepan dengan situasi pasaran yang semakin kompleks ni. Kewangan pengguna, kredit, undang-undang perlindungan pengguna, pengurusan sumber, pengurusan konflik, pembuatan keputusan dan penyelesaian masalah dan lain-lain lagi juga dipelajari.

Kenapa tiba-tiba ada pengurusan? Bukan tu di bawah fakulti ekonomi dan pengurusan ke? Apa kaitan dengan pengguna? Banyak kaitannya dik. Pengurusan, pengurus, organisasi, semua ini adalah orang-orang yang berinteraksi dengan pengguna dalam pasaran. Secara asasnya kita tahu mereka jual barang kepada pengguna. Orang-orang yang menawarkan produk dan perkhidmatan dalam pasaran bagi memenuhi permintaan pengguna. Bukan itu sahaja. Pengguna adalah pekerja juga. Jadi, pengurusan juga melihat bagaimana situasi pekerja dengan majikan dan sebagainya. Mudah dik, kalau adik-adik belajar nanti adik-adik tahu lah.

Okay. Ni adalah beberapa subjek yang diterapkan juga yang mungkin nampak tidak masuk dek akal kenapa perlu belajar dan apa kaitannya dengan pengguna. Pengenalan kepada multimedia, biologi, statistik, reka bentuk, kaunseling, psikologi dan lain-lain lagi. Alahai lah kan? Saya pun dulu banyak merenung, berfikir, kenapa lah perlu belajar subjek-subjek ni. Lagi-lagi statistik. Killer subjek bak kata senior. Tapi kan, logiknya pengguna ni manusia. Semua ni berkaitan dengan manusia. Multimedia. Sebab sekarang teknologi makin canggih. Pengguna banyak tertipu sebab tak terkejar ngan teknologi-teknologi ni. Mereka tak tahu macam mana nak cari maklumat pasal sesuatu. Mereka dok percaya je strategi pemasaran ni. Oleh itu, muncul lah subjek multimedia. Reka bentuk? Nak beli pakaian kita kena tengok reka bentuk pakaian yang sesuai. Nak beli rumah kena tengok reka bentuk rumah yang selamat, selesa. Nak beli perhiasan kena tengok yang cantik, lawa, sedap mata memandang. Settle! Kenapa belajar reka bentuk. Next, statistik. Yang utama sekali pentingnya statistik ni sebab untuk buat projek tahun akhir nanti bagi yang menjalankan kajian kuantitatif. Yang ni takpe. Nanti pensyarah bagitau. Tapi statistik ni juga penting dalam hidup pengguna. Bagaiman kita melihat kebarangkalian sesuatu isu timbul dan lain-lain lagi. Manakala psikologi, kaunseling, biologi lebih kepada bagaimana kita mengenali manusia dan cara mereka menjalankan kehidupan seharian.

Dah nampak kan secara kasarnya apa yang akan dilalui semasa mengambil course ini. Nampak senang tapi bergantung lah kepada seseorang. Sebenarnya semua ni berlaku dalam keadaan sekeliling kita, terhadap diri kita sendiri. So, tak susah untuk memahami. Cuma, belajar lah dengan ikhlas bukan hanya untuk mengejar grade. Grade penting tapi bukan yang terpenting. Yang penting pemahaman kita dan apa yang perlu kita perjuangkan untuk diri kita sendiri dan pengguna lainnya. I'm sure you will love it! Good luck and all the best! Yang tengah berkira-kira lagi nak amek course apa, pertimbangkan lah course ini. The only one dan hanya ada di Universiti Putra Malaysia, Serdang.

Sekian.

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Thursday 18 July 2013

Asal usul sambutan Hari Bung Bratak etnik Bidayuh, Sarawak

Bidayuh ialah satu satu daripada etnik Sarawak. Lokasi penempatan etnik Bidayuh ramai di kawasan daerah Kuching, Serian, Bau, dan Lundu. Ada juga di tempat lain. Tetapi majoriti daripada kawasan ni. Aku? Aku Bidayuh. Sebab tu berminat nak tulis entri pasal Bidayuh. Hee~sebagai peringatan diri sendiri dan pengetahuan sejarah asal usul aku juga. Tadi terbaca post kat facebook. Sumber sahih tak dapat dikesan. Tapi ni lah sejarah tentang nenek moyang aku yang mana aku juga berasal daripada keturunan Bidayuh Jagoi yang terdapat di daerah Bau, Sarawak.

"PERISTIWA BUNG BRATAK : PERJALANAN PANGLIMA KULOW DAN JAMES BROOKE KE SKRANG 1841 – The Untold History

Mungkin ada yang belum mengetahui tentang kaitan kawasan pergunungan Bung Bratak yang terletak di daerah Bau dengan kaum Bidayuh Jagoi di sini. Sebenarnya, Bung Bratak pernah dijadikan kawasan penempatan asal bagi nenek moyang masyarakat Jagoi di sini yang berasal dari gunung Sungkong, Kalimantan Indonesia. Selama beratus tahun, mereka hidup amat damai, harmoni serta kaya dengan tanaman padi dan warisan Jagoi. Namun, peristiwa hitam 1 Mei 1838 telah mengubah segalanya. 


Diceritakan pada tanggal 1hb Mei 1838, penempatan Bung Bratak telah diserang oleh sekumpulan Iban dari Skrang yang diketuai oleh Bagat berserta dengan 70 orang pengikut. Bagat dan orang-orangnya telah membakar rumah-rumah panjang di sekitar perkampungan yang tenang itu. 7 baruk (rumah tradisional masyarakat bidayuh) dan 7 basal (bangsal menyimpan padi) juga turut dimusnahkan. Bagat dan orang-orangnya telah mengambil kesemua stok padi penduduk Bung Bratak dan juga merompak kesemua koleksi gong dan perhiasan tradisional hak milik penduduk di Bung Bratak. Pengikut-pengikut Bagat juga membunuh sesiapa yang menentang mereka. Dikatakan hampir 2,000 orang penduduk Bung Bratak yang menjadi korban di dalam peristiwa hitam ini dan ramai wanita dan kanak-kanak diculik untuk dijadikan hamba abdi. Setelah mereka puas bermaharajalela di Bung Bratak, Bagat dan pengikut-pengikutnya pun belayar pulang dengan 14 bot yang sarat dengan padi dan hamba tebusan pulang ke Skrang. Sesampai Bagat dan pengikut-pengikutnya di Skrang, Ketua Lanang iaitu ketua kepada masyarakat iban di Skrang amat kecewa dengan tindakan Bagat kerana ianya adalah satu tindakan yang diluar daripada persetujuan beliau dan mengarahkan Bagat untuk melepaskan kesemua wanita-wanita dan kanak-kanak yang diculik. Ketua Lanang juga dengan penuh tanggungjawab mengarahkan agar penduduk kampung di Skrang untuk mengambil mereka ini sebagai anak angkat dan hidup di dalam masyarakat Iban Skrang. Sebenarnya tindakan Bagat dan pengikut-pengikutnya adalah semata-mata untuk mendapat jalan mudah bagi mengatasi kekurangan bekalan beras di kampung mereka dan ikhtiarnya dengan merompak di Bung Bratak adalah sesuatu yang sukar untuk diterima oleh Ketua Lanang. 


Diceritakan sewaktu Bung Bratak diserang, Panglima Kulow iaitu salah seorang panglima terkenal di Bung Bratak kerana kepahlawanannya tiada di kampung tetapi beliau dan beberapa penduduk yang lain sedang bekerja di sawah tidak jauh. Kepulan asap daripada kampung mereka telah menyedarkan mereka bahawa kampung mereka Bung Bratak telah diserang. Maka kembalilah mereka ke kampung tetapi agak terlambat kerana Bagat dan pengikut-pengikutnya telahpun meninggalkan Bung Bratak dengan meninggalkan kemusnahan yang menyedihkan untuk kesemua penduduk Bung Bratak. Malah Panglima Kulow sendiri menemui isterinya yang mati dibunuh di jeti sungai tidak jauh daripada penempatan mereka. Panglima Kulow telah mengarahkan semua penduduk yang terselamat untuk mengadakan satu mesyuarat kampung. Kata sepakat daripada penduduk kampung diambil iaitu Panglima Kulow dan beberapa orang yang terpilih pergi memohon bantuan daripada luar untuk bersama-sama mencari keluarga mereka yang diculik. 


Maka bermulalah pengembaraan beliau ke Pontianak di barat Kalimantan, Sambas dan Brunei tetapi sayangnya tiada sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan. Setelah hampir berputus asa untuk mendapatkan bantuan akhirnya perkhabaran gembira diterima daripada Rajah James Brooke. Rajah James Brooke bersetuju untuk membantu Panglima Kulow menyelamatkan keluarga mereka yang diculik dan berhadapan dengan Bagat dan iban Skrang. Maka pada tahun 1841, berangkatlah Panglima Kulow dengan angkatan perang di bawah Rajah James Brooke menuju ke Skrang. Setelah beberapa ketika sampailah mereka di perkampungan iban Skrang dibawah ketuanya Lanang. Tetapi sesuatu yang amat mengejutkan Panglima Kulow dan angkatannya, Ketua Lanang telah menyambut kedatangan mereka dengan sambutan yang hangat sekali. Di dalam sambutan inilah juga Ketua Lanang telah memohon ampun kepada Panglima Kulow dan rombongan atas kekhilafan Bagat dan pengikut-pengikutnya dan mereka bersetujua untuk menyerahkan kembali kesemua mangsa penculikan kembali ke Bung Bratak. Namun bukan semua mangsa penculikan ini mahu kembali ke Bung Bratak kerana setelah beberapa tahun tinggal di Skrang, mereka telah berkahwin dengan penduduk tempatan. Jadi pulanglah Panglima Kulow dengan angkatannya kembali ke Bung Bratak. Setiba mereka di Bung Bratak, sambutan meriah telah diadakan bagi meraikan kepulangan mereka. Bertitik tolak daripada ini, penduduk Bung Bratak menjalinkan persahabatan dengan penduduk iban Sungai Skrang. Persahabatan mereka berkembang setelah ramai penduduk kampung yang berkahwin antara satu sama lain. 


Setelah keamanan dikecapi di Sarawak hasil daripada usaha Rajah James Brooke, ramailah penduduk Bung Bratak yang telah berpindah ke kawasan sekitar bagi membuka sawah padi untuk bertanam dan mencari pekerjaan yang lain. Berdasarkan kajian, kira-kira 40 kampung termasuk tujuh di Daerah Seluas, Kalimantan Barat, Indonesia mempunyai pertalian darah dengan penduduk asal Bung Bratak. Kumpulan terakhir yang meninggalkan perkampungan tersebut ialah dari suku kaum Tembawang yang meninggalkan Bung Bratak pada awal 1970-an dan kini menetap Kampung Tembawang Sauh iaitu salah satu jiran kepada Kampung Stenggang, Bau.


Hari ini peristiwa Bung Bratak dijadikan salah satu warisan masyarakat Jagoi dan sebagai sejarah, di sini telah didirikan batu peringatan bagi memperingati peristiwa hitam tersebut. Bung Bratak diisytiharkan kawasan bersejarah pada tahun 1988 oleh Dayak Bidayuh National Association (DBNA) Sejak itu, pada setiap tahun pada 1 Mei, masyarakat Bidayuh Jagoi dari sekitar Kuching, Bau dan Lundu akan berkumpul di Bung Bratak untuk memperingati peristiwa hitam yang menimpa nenek moyang mereka di sini. Pada masa kini, sambutan Hari Bung Bratak bukan sekadar perayaan memperingati nenek moyang masyarakat Jagoi, malah telah dijadikan salah satu tarikan warisan dan destinasi pelancongan serta kawasan rekreasi di negeri ini khususnya Daerah Bau. Setiap kali tiba tarikh sambutan tersebut, pelbagai acara kebudayaan dan aktiviti-aktiviti menarik diadakan di kawasan pergunungan ini.

Inilah sekelumit sejarah Bung Bratak dan perjalanan Panglima Kulow ke Skrang yang telah bertitik tolak daripada peristiwa hitam 1 Mei 1838. Semoga kawasan bersejarah Bung Bratak ini akan terus dijaga dengan mengekalkan warisan-warisan tradisional masyarakat Bidayuh Sarawak yang akan dipelihara sampai bila-bila."



Sejarah tetap sejarah. Tanpa adanya sejarah, tiadalah masa depan. Ingat asal usul sendiri baru tahu nak menghargai diri sendiri. Terima kasih.

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Friday 5 April 2013

Gelagat Interview

Pagi-pagi duduk kat sekolah ni buat assignment bukan nak berlagak rajin lah kan dengan laptop bagai. Tapi temankan kawan pergi interview kerja kat sekolah ni, jawatan cikgu. Sekolah ni sekolah swasta jadi seronok juga duduk perhati perangai orang. Tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan sekolah lagi (orang yang menemani orang interview la) so, port yang saya duduk ni memang strategik untuk memerhatikan gelagat orang yang pergi interview. Kat pagar sekolah : ENTRANCE!

Kawan saya boleh dikatakan terawal lah yang datang interview. Interview jam 9.30am, sampai sini around 8.30am..tapi standard la datang awal untuk interview. Apa yang menarik perhatian saya pasal sesi interview ni adalah gelagat orang yang datang interview ni semua. Ada beberapa perbezaan juga lah yang dapat dikenalpasti oleh saya melalui pandangan pertama saya. Antaranya:

1) PAKAIAN
Pakaian tak perlu cakap banyak lah. Macam-macam jenis pakaian ada. Ada yang pakai kurung, kebaya, blazer, skirt mini, etc. Serius, skirt mini pendek tak sampai paras lutut pun ada. Ada yang siap pakai legging. Okeh, ni tak tipu sebab ni sekolah swasta kot. Dari segi warna pula memang pening la. Macam-macam warna ada. Warna warni, warna galak semua ada lah. Tapi bagi saya sebagai pemerhati sebelum ditapis ke HR yang sebenar lah kan, saya rasa dari segi pakaian tu elok lah formal kot. Apa-apa jawatan atau apa-apa sektor pun. Sebab saya sebagai pemerhati pun dah pening, belum lagi yang interview. Dari segi warna pula, at least main 2 ton je cukup kot. Tak payah banyak warna atau bercorak sangat. Nampak serabai, selekeh, etc. Okeh,,saya pun dah dapat ambil pengajaran untuk my interview session next time :)

2) ACCESSORIES
Ni pulak yang dipakai kat badan. Macam saya sekarang lah kot. Ada jugak pakai gelang warna warni kat tangan. Begitu juga dengan calon-calon ni semua. Ada yang pakai rantai tergantung-gantung, tudung corak-corak banyak manik-manik, anting-anting 2-3 tindik di telinga, dan sebagainya. Yang ni saya tak poyah komen kot. Semua pun tau kod etika macamana kan bila interview. Tapi tu terpulang kepada setiap orang la. Maybe dia lebih confident dengan cara begitu. 1 lagi kan. Ni kira cam accessories juga la. Kasut/heels...Lelaki elok pakai kasut hitam berkilat kot. Cam smart giler and saya pun jatuh hati okeh dengan lelaki smart. Perempuan pula at least pakai kasut da tumit biar nampak konfiden and gah sikit berjalan. Tapi jangan tinggi sangat. Seselesa diri sendiri berjalan la kan. Hehe...

3) CARA PERGAULAN
Yang ni kalau kat uni saya ada ajar la bagaimana bergaul sesama calon yang datang interview hari tu bertukar pandangan dan maklumat sebelum sesi bermula. Berkenalan dulu sesama sendiri. Okeh, ni saya nampak la dalam diri mereka ni semua. Tetapi ada juga yang tak.But i like this part. Bina networking before interview. Bukan je meningkatkan level of confident tapi maklumat tu penting. Bertukar-tukar pandangan. Jadi, bertegur sapa lah sesama sendiri masa datang interview. Dulu lecturer saya pernah bagitau, ada sesetangah organisasi akan pasang cctv di tempat candidates tunggu. So, mereka akan dapat lihat macamana communication skills kita, apa-apa skills je la. Jangan berat mulut je lah masa interview ye. Ok, ni pun satu ilmu baru bagi saya.

4) SENYUM MESRA
Part yang ni pun saya suka. Orang yang datang-datang je terus senyum memang menarik perhatian saya lah. Nampak sweet je. Lagi-lagi lelaki. Seriously wahai LELAKI, awak semua limited ok. Datang interview tu senyum, nampak handsome. Sangat-sangat handsome. Lelaki punya percentage untuk dapat kerja tu sangat tinggi walaupun akademic level kurang daripada wanita-wanita ni semua. Hihi

Enough for now. Kawan pun dah siap interview. Moga tips and hasil pemerhatian saya menjadi teladan dan panduan untuk semua dan diri saya sendiri juga. GOOD LUCK AND ALL THE BEST!!
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Wednesday 3 April 2013

Prinsip dan Amalan Kewartawanan

Wartawan?
Berita?
Eh, kau Bacelor Pengajian Pengguna. Bukan budak wartawan kan?

Ni lagi persoalan yang bermain bila pengajian pengguna ambil subjek kewartawanan. Subjek wajib pula tu. Jawapannya, mudah dan ringkas. Pengguna ada hak. Antaranya HAK UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT. Berita dan akhbar adalah salah satu medium paling cepat untuk pengguna mendapatkan maklumat pasal isu semasa dan sebagainya. Pembaca kepada berita dan akhbar adalah juga digelar PENGGUNA. Jadi, sebab itulah kami perlu belajar pasal kewartawanan. :)

Apa yang saya nak ceritakan di sini bukan nak tulis balik nota-nota yang saya dapat dari awal kuliah sampai sekarang atau apa. Tetapi saya terimbas balik apa yang dipelajari dalam kelas tadi dengan berita-berita yang saya baca kebelakangan ini. Memang tidak dinafikan kini media elektronik lagi cepat dari media cetak. Contohnya, FACEBOOK. Berita-berita ni memang laju je kalau dalam FACEBOOK. Kalah akhbar online pun. Tapi, akhbar walaupun agak macam dimamah usia dan hampir ditelan arus globalisasi, akhbar masih mendapat tempat di hati setiap pembaca.  Tahu tak kenapa? SEBAB, akhbar ni sahih sumbernya. Boleh dipercayai. Kalau status facebook, tu lebih kurang sama macam khabar angin. Kita tidak tahu puncanya dan boleh dipercayai ataupun tidak.

Tapi, yang menariknya dalam pembelajaran hari ini, saya baru sedar bahawa nilai berita sangat-sangat perlu dititiberatkan. Dan memang memberi kesedaran terhadap saya tentang perilaku dan minat saya terhadap akhbar. Kita akan lebih berminat terhadap sesuatu berita jika ianya berlaku dekat dengan kita. Semakin dekat jarak semakin kita nak ambil peduli. Contohnya berita malam tadi. Mengenai kes pembunuhan di Flat Serdang. Lokasi tu belakang UPM je okay. Menggelabah juga bila tahu. Sebab dekat dengan kita dan sekaligus kita merasa keselamatan kita terancam seterusnya kita harus ambil tahu. 


Berita kontroversi juga selalunya akan mendapatkan perhatian pengguna. Selalunya berita kontroversi ini akan mencetuskan kegawatan dan menjejaskan kehiudpan sosial, ekonomi dan politik kita. Contohnya pasal isu Lahad Datu baru-baru ini. Walaupun lokasinya adalah di Sabah, tetapi ia akan menjejaskan komuniti Malaysia secara keseluruhannya bila keselamatan negara terancam. Jadi, berita seperti ini juga mempengaruhi nilai berita dalam diri pengguna.

Selain daripada itu, pengaruh peribadi seseorang juga akan menarik minat kita membaca akhbar kan? Contohnya mengenai artis ataupun selebriti kegemaran kita. Laju je kita akan belek akhbar tersebut kan? Hee~

Okay, so stop menulis pasal berita atau akhbar. Ini bukan nota atau apa ya walaupun ayat nampak skema. Tetapi nak ceritakan inilah yang selalu digunakan oleh akhbar untuk menarik minat kita membacanya. Akhbar akan selalu menyediakan kita berita paling cepat, memberi manfaat kepada kita dan mudah difahami oleh kita. Sedih bila tengok akhbar dah kurang mendapat tempat di hati pengguna dan lebih mempercayai berita laman sosial yang banyak merapu dan mencarot. Sekian.


Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen