Online Diary bila cik butang berbicara...: July 2013

Bila Cik Butang berbicara...

Bila Cik Butang berbicara...

Thursday 18 July 2013

Asal usul sambutan Hari Bung Bratak etnik Bidayuh, Sarawak

Bidayuh ialah satu satu daripada etnik Sarawak. Lokasi penempatan etnik Bidayuh ramai di kawasan daerah Kuching, Serian, Bau, dan Lundu. Ada juga di tempat lain. Tetapi majoriti daripada kawasan ni. Aku? Aku Bidayuh. Sebab tu berminat nak tulis entri pasal Bidayuh. Hee~sebagai peringatan diri sendiri dan pengetahuan sejarah asal usul aku juga. Tadi terbaca post kat facebook. Sumber sahih tak dapat dikesan. Tapi ni lah sejarah tentang nenek moyang aku yang mana aku juga berasal daripada keturunan Bidayuh Jagoi yang terdapat di daerah Bau, Sarawak.

"PERISTIWA BUNG BRATAK : PERJALANAN PANGLIMA KULOW DAN JAMES BROOKE KE SKRANG 1841 – The Untold History

Mungkin ada yang belum mengetahui tentang kaitan kawasan pergunungan Bung Bratak yang terletak di daerah Bau dengan kaum Bidayuh Jagoi di sini. Sebenarnya, Bung Bratak pernah dijadikan kawasan penempatan asal bagi nenek moyang masyarakat Jagoi di sini yang berasal dari gunung Sungkong, Kalimantan Indonesia. Selama beratus tahun, mereka hidup amat damai, harmoni serta kaya dengan tanaman padi dan warisan Jagoi. Namun, peristiwa hitam 1 Mei 1838 telah mengubah segalanya. 


Diceritakan pada tanggal 1hb Mei 1838, penempatan Bung Bratak telah diserang oleh sekumpulan Iban dari Skrang yang diketuai oleh Bagat berserta dengan 70 orang pengikut. Bagat dan orang-orangnya telah membakar rumah-rumah panjang di sekitar perkampungan yang tenang itu. 7 baruk (rumah tradisional masyarakat bidayuh) dan 7 basal (bangsal menyimpan padi) juga turut dimusnahkan. Bagat dan orang-orangnya telah mengambil kesemua stok padi penduduk Bung Bratak dan juga merompak kesemua koleksi gong dan perhiasan tradisional hak milik penduduk di Bung Bratak. Pengikut-pengikut Bagat juga membunuh sesiapa yang menentang mereka. Dikatakan hampir 2,000 orang penduduk Bung Bratak yang menjadi korban di dalam peristiwa hitam ini dan ramai wanita dan kanak-kanak diculik untuk dijadikan hamba abdi. Setelah mereka puas bermaharajalela di Bung Bratak, Bagat dan pengikut-pengikutnya pun belayar pulang dengan 14 bot yang sarat dengan padi dan hamba tebusan pulang ke Skrang. Sesampai Bagat dan pengikut-pengikutnya di Skrang, Ketua Lanang iaitu ketua kepada masyarakat iban di Skrang amat kecewa dengan tindakan Bagat kerana ianya adalah satu tindakan yang diluar daripada persetujuan beliau dan mengarahkan Bagat untuk melepaskan kesemua wanita-wanita dan kanak-kanak yang diculik. Ketua Lanang juga dengan penuh tanggungjawab mengarahkan agar penduduk kampung di Skrang untuk mengambil mereka ini sebagai anak angkat dan hidup di dalam masyarakat Iban Skrang. Sebenarnya tindakan Bagat dan pengikut-pengikutnya adalah semata-mata untuk mendapat jalan mudah bagi mengatasi kekurangan bekalan beras di kampung mereka dan ikhtiarnya dengan merompak di Bung Bratak adalah sesuatu yang sukar untuk diterima oleh Ketua Lanang. 


Diceritakan sewaktu Bung Bratak diserang, Panglima Kulow iaitu salah seorang panglima terkenal di Bung Bratak kerana kepahlawanannya tiada di kampung tetapi beliau dan beberapa penduduk yang lain sedang bekerja di sawah tidak jauh. Kepulan asap daripada kampung mereka telah menyedarkan mereka bahawa kampung mereka Bung Bratak telah diserang. Maka kembalilah mereka ke kampung tetapi agak terlambat kerana Bagat dan pengikut-pengikutnya telahpun meninggalkan Bung Bratak dengan meninggalkan kemusnahan yang menyedihkan untuk kesemua penduduk Bung Bratak. Malah Panglima Kulow sendiri menemui isterinya yang mati dibunuh di jeti sungai tidak jauh daripada penempatan mereka. Panglima Kulow telah mengarahkan semua penduduk yang terselamat untuk mengadakan satu mesyuarat kampung. Kata sepakat daripada penduduk kampung diambil iaitu Panglima Kulow dan beberapa orang yang terpilih pergi memohon bantuan daripada luar untuk bersama-sama mencari keluarga mereka yang diculik. 


Maka bermulalah pengembaraan beliau ke Pontianak di barat Kalimantan, Sambas dan Brunei tetapi sayangnya tiada sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan. Setelah hampir berputus asa untuk mendapatkan bantuan akhirnya perkhabaran gembira diterima daripada Rajah James Brooke. Rajah James Brooke bersetuju untuk membantu Panglima Kulow menyelamatkan keluarga mereka yang diculik dan berhadapan dengan Bagat dan iban Skrang. Maka pada tahun 1841, berangkatlah Panglima Kulow dengan angkatan perang di bawah Rajah James Brooke menuju ke Skrang. Setelah beberapa ketika sampailah mereka di perkampungan iban Skrang dibawah ketuanya Lanang. Tetapi sesuatu yang amat mengejutkan Panglima Kulow dan angkatannya, Ketua Lanang telah menyambut kedatangan mereka dengan sambutan yang hangat sekali. Di dalam sambutan inilah juga Ketua Lanang telah memohon ampun kepada Panglima Kulow dan rombongan atas kekhilafan Bagat dan pengikut-pengikutnya dan mereka bersetujua untuk menyerahkan kembali kesemua mangsa penculikan kembali ke Bung Bratak. Namun bukan semua mangsa penculikan ini mahu kembali ke Bung Bratak kerana setelah beberapa tahun tinggal di Skrang, mereka telah berkahwin dengan penduduk tempatan. Jadi pulanglah Panglima Kulow dengan angkatannya kembali ke Bung Bratak. Setiba mereka di Bung Bratak, sambutan meriah telah diadakan bagi meraikan kepulangan mereka. Bertitik tolak daripada ini, penduduk Bung Bratak menjalinkan persahabatan dengan penduduk iban Sungai Skrang. Persahabatan mereka berkembang setelah ramai penduduk kampung yang berkahwin antara satu sama lain. 


Setelah keamanan dikecapi di Sarawak hasil daripada usaha Rajah James Brooke, ramailah penduduk Bung Bratak yang telah berpindah ke kawasan sekitar bagi membuka sawah padi untuk bertanam dan mencari pekerjaan yang lain. Berdasarkan kajian, kira-kira 40 kampung termasuk tujuh di Daerah Seluas, Kalimantan Barat, Indonesia mempunyai pertalian darah dengan penduduk asal Bung Bratak. Kumpulan terakhir yang meninggalkan perkampungan tersebut ialah dari suku kaum Tembawang yang meninggalkan Bung Bratak pada awal 1970-an dan kini menetap Kampung Tembawang Sauh iaitu salah satu jiran kepada Kampung Stenggang, Bau.


Hari ini peristiwa Bung Bratak dijadikan salah satu warisan masyarakat Jagoi dan sebagai sejarah, di sini telah didirikan batu peringatan bagi memperingati peristiwa hitam tersebut. Bung Bratak diisytiharkan kawasan bersejarah pada tahun 1988 oleh Dayak Bidayuh National Association (DBNA) Sejak itu, pada setiap tahun pada 1 Mei, masyarakat Bidayuh Jagoi dari sekitar Kuching, Bau dan Lundu akan berkumpul di Bung Bratak untuk memperingati peristiwa hitam yang menimpa nenek moyang mereka di sini. Pada masa kini, sambutan Hari Bung Bratak bukan sekadar perayaan memperingati nenek moyang masyarakat Jagoi, malah telah dijadikan salah satu tarikan warisan dan destinasi pelancongan serta kawasan rekreasi di negeri ini khususnya Daerah Bau. Setiap kali tiba tarikh sambutan tersebut, pelbagai acara kebudayaan dan aktiviti-aktiviti menarik diadakan di kawasan pergunungan ini.

Inilah sekelumit sejarah Bung Bratak dan perjalanan Panglima Kulow ke Skrang yang telah bertitik tolak daripada peristiwa hitam 1 Mei 1838. Semoga kawasan bersejarah Bung Bratak ini akan terus dijaga dengan mengekalkan warisan-warisan tradisional masyarakat Bidayuh Sarawak yang akan dipelihara sampai bila-bila."



Sejarah tetap sejarah. Tanpa adanya sejarah, tiadalah masa depan. Ingat asal usul sendiri baru tahu nak menghargai diri sendiri. Terima kasih.

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen